Percutian Bajet di Kota Kinabalu dan Kundasang- Kos Keseluruhan dibawah RM 800!!

Acapkali bila bercerita mengenai tempat-tempat menarik di Malaysia, Kota Kinabalu dan Kundasang bakal menjadi salah satu dari senarai. Dan kekangan utama pastinya harga tiket penerbangan yang agak mahal dari Semenanjung.  Baru-baru ini, syarikat penerbangan Malindo Air telah menawarkan harga yang amat berpatutan untuk ke Kota Kinabalu, abam dan rakan tidak melepaskan peluang yang ada dan telah menempah tiket untuk penerbangan pergi dan balik pada 15-18 Jun 2019. Untuk pengetahuan, ini kali kedua abam ke Kota Kinabalu tetapi Kundasang merupakan kali pertama. Bagi rakan abam pula, ini kali pertama. Wong atau nama sebenarnya Khairul Anwar pernah mengikut abam sebelum ini ke Aceh dan Pulau Sabang, jadi agak tidak janggal untuk trip kali ini, lebih-lebih lagi Wong seorang yang ceria dan tak banyak songeh.

Desa Dairy Farm. Bergambar bersama lembu-lembu jinak ala-ala New Zealand


Sebelum abam celoteh dengan lebih panjang lebar, berikut disenaraikan kos keseluruhan untuk trip kali ini sebagai rujukan korang semua. Harap maklum, kos yang dinyatakan tidak termasuk makan, minum dan perbelanjaan lain sewaktu di sana. 

Tiket penerbangan pergi balik Malindo Air > RM 257.00 seorang
Hotel Dreamtel Kota Kinabalu > RM 347.60 berdua untuk 3 hari 2 malam (RM 173.80 seorang)
Sutera Sanctuary Lodges Kinabalu Park > RM 220.22 berdua untuk 2 hari 1 malam (RM110.11 seorang)
Sewa Kereta Axia > RM 200 untuk 2 hari (kos seorang RM 100)
Bus dari KKIA ke Padang Merdeka > RM 5 (sehala, waktu balik, kami drive terus ke KKIA untuk pulangkan kereta)
Island Hopping 2 Pulau, Manukan dan Mamutik > RM 33 seorang (termasuk sewa peralatan snorkelling)
Yuran Taman Laut > RM 5
Tiket masuk Desa Dairy Farm > RM 3
Yuran masuk ke Kinabalu Park > RM 3
Tiket masuk Fish Spa Kpg Luanti > RM 5
Tiket masuk ke Rumah Terbalik > RM 12
Kos minyak > RM 80 (RM 40 seorang)

JUMLAH KOS KESELURUHAN SEORANG > RM 786.91


Hari Pertama (15 Jun 2019)
Penerbangan kami, OD 1018 berlepas dari KLIA pada jam 8.15 pagi. Tempoh penerbangan adalah 2 jam dan 40 minit. Wong bergerak naik bas dari Terminal Bas Larkin pada jam 11.30 malam @ 14/6/2019 dan tiba di TBS pada jam 4 pagi. Untuk memudahkan keadaan, abam ambil keputusan untuk meletak kereta di TBS dan bergerak ke KLIA bersama Wong menaiki ERL. Untuk melihat pengalaman kami menaiki OD 1018, boleh klik pada pautan Youtube dibawah, 


Setibanya di KKIA, kami terus menuju ke kaunter bas perantara airport yang betul-betul terletak berhadapan dengan pintu keluar balai ketibaan. Bas kami menuju ke Padang Merdeka bertolak tepat pada jam 11.45 pagi. Hotel Dreamtel yang kami telah tempah terletak betul-betul bersebelahan dengan parkir bas di Padang Merdeka, memudahkan kami untuk daftar masuk. Setelah daftar masuk, kami berehat sebentar dan pada petangnya kami mengambil keputusan untuk berjalan kaki ke Dataran Todak. Tujuan utama adalah untuk makan seafood dan membeli barangan cenderamata di Pasar Filipin. Jarak dari hotel ke Dataran Todak hanyalah sekitar 10 minit berjalan kaki. 



Untuk seafood, kami amat syorkan untuk makan di Gerai Santai Haji Manja. Gerainya terletak betul-betul dibahagian tengah kawasan seafood di area bersebelahan dengan Pasar Filipin dan Dataran Todak. Untuk mengelakkan salah gerai, pastikan mejanya bewarna merah. Untuk Lobster, kami dikenakan harga RM 45 seekor SAHAJA, murah kan?


RM 45 sahaja harga lobster ni


Baki masa yang ada kami penuhi dengan membeli cenderamata di kawasan Pasar Filipin sebelum pulang berehat di hotel.


Hari Kedua (16 Jun 2019)
Paginya kami bersarapan di hotel. Bilik yang kami tempah termasuk sekali dengan pakej sarapan pagi. Alhamdulillah, menu yang disediakan agak pelbagai. Setelah bersarapan, kami bersiap-siap untuk ke Jeti Jesselton. Jarak diantara hotel dan jeti tidaklah jauh, didalam lingkungan 15 minit berjalan kaki. Kami menyelusuri Gaya Street untuk ke jeti. Kebetulan, setiap hari ahad terdapat pasar pagi di jalan ini. Pelbagai hasil hutan dan produk-produk tempatan yang lainnya ada dijual.

Kami terus menuju ke kaunter pembelian tiket setibanya di Jeti Jesselton. Ada pelbagai pilihan pengendali bot untuk dipilih bagi pakej Island Hopping. Harga yang ditawarkan juga tidak berbeza, mungkin yang membezakan mereka adalah kualiti servis. Kami mengambil keputusan untuk menggunakan perkhidmatan Sunny Rainbow Tours & Travel Sdn Bhd, kaunternya terletak betul-betul di bahagian tengah barisan kaunter tiket. Pulau yang dipilih pun hanyalah dua, iaitu Pulau Manukan dan Pulau Mamutik. Mengikut saranan dari penjaga kaunter, Pulau Manukan sesuai untuk aktiviti berenang manakala Pulau Mamutik pula sesuai untuk aktiviti snorkelling. Bot kami ke pulau pertama iaitu Pulau Manukan dijadualkan bertolak pada jam 9.15 pagi. Harga yang dikenakan pada kami untuk 2 pulau beserta sewaan peralatan snorkelling adalah RM 33. Harga ini tidak termasuk yuran taman laut iaitu sebanyak RM 5. Yuran ini perlu dibayar setibanya di pulau pertama, dan resit harus disimpan untuk mengelakkan dari dikenakan bayaran sekali lagi sewaktu ke pulau yang kedua dan seterusnya. Nasib agak kurang menyebelahi kami pada hari tersebut kerana cuaca yang agak kurang baik. Mendung dan hujan sehingga ke petang. 


Pintu gerbang di Jeti Jesselton, laluan utama ke pulau-pulau sekitar Kota Kinabalu


Aktiviti snorkelling kami berakhir pada jam 1 tengah hari, awal beberapa jam dari masa yang sebenar, itupun akibat dari cuaca yang kurang baik. Kami disyorkan untuk pulang ke daratan bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini. 




Sewaktu berjalan kaki pulang ke hotel, kami sempat singgah di Restoran Pak Haji 2. Awalnya kami bercadang untuk makan bakso sahaja, tetapi bila berada didalam restoran, kami perasan ramai yang beratur untuk membeli pisang goreng. Setelah disiasat, barulah kami tahu yang pisang goreng di Restoran Pak Haji agak viral disekitar Kota Kinabalu. Ya, memang tak dinafikan, sebab kami berkesempatan untuk mencuba, memang terbukti sedap!


Memang sedap pisang goreng ni, tak dinafikan!


Pada sebelah malamnya kami mengambil keputusan untuk makan di Burger King sahaja. Kereta yang kami sewa juga diberi pada malam tersebut, ikut rancangan awal, kereta hanya akan diserahkan pada keesokan hari, tapi disebabkan tuan punya kereta agak sibuk, kereta diserahkan awal. Mujur kami hanya dikenakan bayaran seperti yang telah dipersetujui, RM 200 untuk 2 hari. 


Hari Ketiga (17 Jun 2019)
Hari terakhir di Hotel Dreamtel. Seawal jam 6.30 pagi kami telah bersarapan. Cadangnya untuk bergerak seawal mungkin ke Kundasang. Jika dilihat dari aplikasi Waze, perjalanan dari hotel menuju ke Kundasang mengambil masa sekitar 2 jam 30 minit. Tempat dituju kami setkan kepada Desa Dairy Farm Kundasang. Sepanjang perjalanan, kami bertukar-tukar pemandu, mula-mula Wong yang memandu, setelah sekitar sejam, stering bertukar tangan. Alhamdulillah, perjalanan kami dipermudahkan. Setelah hampir 3 jam memandu, kami tiba di Desa Dairy Farm. Dengan berbaju Melayu, kami bergambar disekitar area ladang. Sempat juga kami mencuba aiskrim di sana, memang tidak mengecewakan, pelbagai perisa ditawarkan, tepuk dada tanya selera.

Singgah sebentar semasa didalam perjalanan ke Kundasang



Setelah puas bergambar, kami meneruskan perjalanan menuju ke hotel. Sutera Sanctuary Lodge Kinabalu Park menjadi pilihan. Bilik Hill Lodge telah ditempah beberapa minggu awal. Hotel ini terletak di dalam kawasan Kinabalu Park, yuran sebanyak RM 3 seorang dikenakan untuk memasuki kawasan ini. Secara jujurnya, kami sangat berpuas hati dengan keadaan bilik yang telah ditempah. Sangat-sangat ekslusif. Makan tengah hari kami di dalam restoran yang terletak di kawasan sekitar Kinabalu Park. Harga memang agak terlampau mahal, set nasi lemak sahaja sudah menjangkau RM 28. Kalau tak mengenangkan perut sudah terlalu lapar, memang kami takkan makan disini.

Suasana di dalam bilik Hill Lodge
Hill Lodge di Sutera Sanctuary Lodge Kinabalu Park


Masa selebihnya kami luangkan untuk meneroka kawasan di sekitar Kinabalu Park. Sempat juga kami ke Timpohon Gate, laluan untuk untuk mendaki ke Gunung Kinabalu.

Timpohon Gate, pintu masuk ke laluan mendaki Gunung Kinabalu


Malamnya pula kami mengambil keputusan untuk makan di KFC Pekan Kundasang sahaja.

Makan malam di KFC Pekan Kundasang



Hari Keempat (18 Jun 2019)
Awal juga kami bangun, targetnya nak merasai suasana nyaman pagi di kaki Gunung Kinabalu. Memang sejuk cuaca di hotel tempat kami tinggal, terasa seperti di luar negara. Untuk sarapan pagi, kami bercadang ke Sabah Tea Farm di Ranau. Jarak perjalanan mengambil masa dalam satu jam. Setibanya di sana, kami terus menuju ke restoran untuk bersarapan pagi. Wong memilih Nasi Goreng Daging, manakala abam pula memilih Nasi Goreng Napala (menu spesial disitu). Setelah selesai bersarapan, kami berjalan-jalan disekitar kawasan ladang teh. Ada beberapa tempat bergambar yang berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu. Jika cuaca baik, puncak Kinabalu tersergam indah dibelakang korang sewaktu bergambar, memang sangat-sangat teruja.



Setelah hampir sejam di kawasan ladang, kami meneruskan perjalanan menuju ke Fish Spa Kampung Luanti. Kedudukannya betul-betul bersebelahan dengan pintu masuk ke Sabah Tea Farm. Tiket masuk ke Fish Spa hanyalah RM 5 seorang. Ini pengalaman pertama kami ber Fish Spa di dalam air sungai. Perkara pertama yang membuatkan kami terkesima adalah saiz ikan didalam air sungai tersebut. Sangat-sangat besar! Awalnya perasaan geli wujud, tapi lama kelamaan, perasaan tersebut bertukar menjadi seronok. Jika ditanya abam, WAJIB untuk pergi ke sini. Rugi rasanya jika tidak meluangkan masa disini jika sudah sampai di Kundasang.

Selesai ber Fish Spa, kami mengambil keputusan untuk pulang ke hotel bagi tujuan daftar keluar. Sempat juga kami mandi dulu sebelum check out. Setelah selesai urusan daftar keluar, kami meneruskan perjalanan ke Kampung Mesilou dan kawasan Sulap. Dua-dua kawasan ini terletak berhampiran dengan Desa Dairy Farm. Tak banyak aktiviti yang boleh dilakukan disini, kami hanya menghabiskan masa bergambar di kawasan sekitar.

Kampung Mesilou di Kundasang


Wong mengesyorkan untuk pergi ke Palumpung untuk destinasi seterusnya. Katanya pernah melihat seorang rakan bergambar di Palumpung dan sangat menarik pemandangan di kawasan tersebut. Palumpung terletak di jalan menuju ke Kota Belud. Dari Pekan Kundasang, perjalanan mengambil masa sekitar sejam lebih. Mungkin rezeki tidak menyebelahi kami, setibanya di Palumpung, hujan turun dengan lebatnya, dan tiada tanda-tanda yang hujan akan berhenti dalam masa terdekat. Kami mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan pulang ke Kota Kinabalu. 

Sewaktu pulang, sempat juga kami singgah di Muzium Rumah Terbalik Tamparuli. Tiket masuk seorang adalah RM 12. Cuma agak mengecewakan, kami tidak dibenarkan bergambar atau mengambil video sewaktu berada didalam kawasan muzium. Hanya dibenarkan bergambar dan mengambil video dikawasan sekitar luar muzium sahaja. 

Jam menunjukkan hampir 4.30 petang. Kami telah berjanji untuk memulangkan kereta di KKIA pada jam 6 petang. Dari Muzium Rumah Terbalik, kami mengambil keputusan untuk terus memandu ke KKIA. Dalam perjalanan, kami singgah di salah sebuah kedai untuk membeli beg kanvas Wong, katanya mahu disatukan kesemua barang-barang yang telah dibeli kedalam satu beg bagi memudahkannya untuk mengangkat. Keadaan jalan menuju ke KKIA agak sesak. Mujur kami masih sempat tiba di KKIA tepat pada jam 6 petang. 

Setelah kereta dipulangkan, kami menuju ke The Oldtown White Coffee untuk makan. Hampir berpuasa kami pada hari tersebut, mana tidaknya, makanan terakhir yang dijamah adalah pada awal pagi. Setelah jam menunjukkan hampir 7.30 petang, kami menuju ke kaunter Malindo Air untuk daftar masuk dan seterusnya ke bahagian pelepasan imigresen sebelum menuju ke pintu perlepasan. 

Penerbangan pulang kami, OD 1017 dijadualkan berlepas pada jam 9.20 malam.



Selesai sudah percutian di Kota Kinabalu dan Kundasang. Bagi abam, segalanya menarik di sini. Tempat yang sesuai jika ingin bercuti bersama keluarga mahupun rakan-rakan. Jika ada kelapangan, rancanglah percutian korang ke sini. Jangan lupa untuk beli amplang, kuih cincin, batik Sabah dan mutiara sebagai tanda kenangan. 

Sehingga berjumpa lagi di mytravelcerita yang seterusnya... 

Comments

  1. Kalau nak cari kereta sewa.. saya suggest

    Kereta Sewa Di Kota Kinabalu

    servis memang terbaik

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Tuan, harap membantu kepada sesiapa yang memerlukannya.

      Delete
  2. Replies
    1. Terima kasih sekali lagi Tuan, moga membantu kepada yang memerlukannya.

      Delete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Bercuti ke Hat Yai Menaiki Keretapi

Hat Yai, Syurga Makanan

Apa yang menarik di Phuket?

10+1 Tips Untuk Mengelakkan Dari Gagal Memasuki Korea Selatan

Tragedi di Sempadan Malaysia-Thailand