10+1 Tips Untuk Mengelakkan Dari Gagal Memasuki Korea Selatan

Artikel ini ditulis berdasarkan pengalaman sebenar penulis bersama rakan-rakannya ketika memasuki Korea Selatan pada 8 Nov 2018. Penulis berjaya melepasi pemeriksaan imigresen, malangnya dua orang lagi rakan penulis hampir dihalang dan dihantar pulang ke Malaysia.

Beberapa fakta yang perlu diketahui:

  1. Visa tidak diperlukan untuk melancong ke Korea Selatan bagi tempoh berada disana tidak melebihi dari 90 hari. Anda hanya perlu ada passport yang masih sah untuk tempoh 6 bulan. 
  2. Kementerian Keadilan Korea Selatan telah meningkatkan jumlah pegawai imigresen yang bertanggungjawab untuk mengenalpasti pekerja asing tanpa izin kepada 1,400 orang. Boleh rujuk pada artikel yang ditulis oleh MStar bertarikh 28 Januari 2018.
Akmal dan Akim selepas keluar dari kapal terbang setelah tiba di Incheon International Airport


Berikut disenaraikan 10+1 tips yang perlu di ambil maklum sebelum ke Korea Selatan.
  1. PENTING! Sediakan tiket penerbangan pulang yang sah
  2. PENTING! Sediakan itinerari perjalanan, iaitu jadual aktiviti harian sewaktu berada di Korea Selatan
  3. Pastikan anda faham selok belok perjalanan seperti yang telah dirancang didalam itinerari. Pegawai imigresen mungkin akan bertanya untuk memastikan yang anda bukan dirancang untuk memasuki Korea Selatan bagi tujuan selain dari pelancongan. 
  4. PENTING! Sediakan sesalinan bukti tempahan hotel/hostel/rumah tumpangan. Pastikan tempahan telah disahkan kerana ada kemungkinan pihak imigresen akan menghubungi hotel/hostel/rumah tumpangan untuk mendapatkan kepastian
  5. Jika anda datang bersama keluarga, bawa bukti hubungan kekeluargaan seperti surat beranak dan lain-lain dokumen. Keberangkalian berjaya memasuki Korea Selatan adalah lebih tinggi jika melancong bersama keluarga
  6. Wang tunai yang mencukupi sepanjang berada di Korea Selatan, atau bukti wang simpanan di dalam bank yang mencukupi yang boleh digunakan sewaktu berada di Korea Selatan. Anda mungkin diminta mengakses ke akaun bank anda (perbankkan internet/mesin atm). Jalan terbaik adalah menukar wang ke Korean Won yang mencukupi sebelum berlepas ke Korea Selatan
  7. Pastikan maklumat yang diisi didalam "arrival card" dan "customs declaration form" adalah lengkap dan tepat. Sebarang keraguan atas maklumat yang di isi boleh menyebabkan anda dilarang dari memasuki Korea Selatan. 
  8. Jika anda berumur awal 20an, tidak digalakkan melancong bersama rakan-rakan sebaya ataupun keseorangan, jika boleh, didalam kumpulan yang disertai oleh orang yang agak berumur/matang. 
  9. PENTING! Bila anda diminta untuk memasuki bilik siasatan, anda mungkin akan terpisah dari kumpulan anda. Pastikan bila ini terjadi, telefon anda boleh mengakses rangkaian wifi. Lapangan terbang Incheon di Korea Selatan ada menyediakan perkhidmatan wifi percuma.  Rakan-rakan anda yang berjaya melepasi pemeriksaan imigresen mungkin bakal menjadi penyelamat kepada anda. Pegawai penyiasat berkemungkinan besar akan meminta anda menghubungi mereka untuk dijadikan sebagai rujukan. 
  10. PENTING! Pastikan kandungan telefon bimbit anda "bersih". Jika anda diragui kemasukan ke Korea Selatan, dan dipanggil masuk kedalam bilik siasatan, pihak imigresen mempunyai hak untuk mengakses ke telefon bimbit anda. Salah satu borang yang anda perlu isi nanti ada menanyakan kebenaran untuk mengakses telefon bimbit anda. Jika anda tidak memberi kebenaran, sudah pasti menimbulkan lagi keraguan pada pihak imigresen. 
Dan yang paling PENTING!, keyakinan diri ketika menjawab soalan imigresen. Bila disoal siasat, jawapan yang diberi dan cara jawapan diberi perlulah meyakinkan. 


Sebagai rujukan, berikut merupakan rentetan pengalaman sebenar penulis sewaktu tiba di Lapangan Terbang Incheon, Korea Selatan pada tanggal 8 Nov 2018 yang lalu. Penulis ke sana bersama-sama dua orang rakan iaitu Akmal dan Akim. Akmal dan Akim nyaris-nyaris dilarang memasuki Korea Selatan!

  • Awal-awal lagi penulis telah mengingatkan Akmal dan Akim supaya beratur di hadapan sewaktu di kaunter imigresen. Ini bagi memudahkan penulis untuk mengetahui jika sebarang perkara tidak diingini berlaku pada mereka berdua. Akmal baru menjinakkan diri dalam dunia "backpacker" manakala bagi Akim pula, ini pertama kali ke luar negara menaiki kapal terbang. 
  • Sewaktu tiba giliran Akmal menghadap pegawai imigresen, kemasukannya ke Seoul telah diragui dan diminta untuk menunggu di tepi. Penulis sudah mulai risau dengan situasi tersebut. 
  • Giliran Akim menghadap pegawai imigresen yang sama, juga diragui kemasukannya ke Seoul. 
  • Kedua-dua mereka diminta untuk mengikut pegawai penyiasat ke bilik siasatan. Penulis bertambah risau dan berdoa agar segala urusan mereka dipermudahkan. 
  • Penulis kemudian menghadap pegawai imigresen yang sama, berjaya dibenarkan masuk ke Seoul. Penulis cuba untuk menerangkan situasi yang mereka berdua melancong bersama-sama penulis, tetapi tidak diendahkan. 
  • Setelah melepasi imigresen, penulis menunggu di bahagian belakang kaunter imigresen, agak gelisah ketika itu kerana penulis tahu agak mustahil untuk berhubung dengan Akmal dan Akim.
  • Setelah hampir sejam, penulis mengambil keputusan untuk pergi ke "belt" pengambilan beg dengan harapan bakal bertemu dengan Akmal disitu kerana beg Akmal ada disana juga. Jika kedua-duanya dihantar pulang ke Malaysia, pasti pegawai imigresen akan membawa Akmal kesitu utk mengambil begnya.
  • Hampir 30 minit di situ, tiba-tiba penulis menerima mesej whatsap dari Akmal. Masa tu hanya Allah swt je yang tahu perasaan gembiranya mengetahui keberadaan mereka berdua.
  • Mesej-mesej dengan Akmal seterusnya menjurus kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan borang soal siasat yang perlu mereka isi. Soalan-soalan yang ditanya menjurus kepada perkara-perkara yang membolehkan mereka dilarang dari memasuki Korea Selatan. Dan di antara soalan yang ditanya adalah berkaitan dengan kebenaran untuk mengakses telefon bimbit mereka. Mereka juga ditanya samada mereka mempunyai tiket penerbangan pulang.
  • Penulis ada lampirkan disini butiran lanjut kandungan mesej penulis dan Akmal. 
  • Menurut kata Akmal, pegawai penyiasat ingin bertemu dengan penulis. Pada masa tersebut, penulis telah berada di bahagian pengambilan beg. 
  • Penulis kembali ke bahagian belakang kaunter imigresen untuk menunggu pegawai penyiasat. Setelah beberapa ketika menunggu, penulis di datangi oleh seorang lelaki berbaju biru muda, uniform pegawai penyiasat imigresen. 
  • Soalan pertama yang ditanya adalah, "Are you travel agency? I cannot access your website" (Adakah anda agensi pelancongan? Saya tidak dapat mengakses ke laman sesawang anda). Soalan itu ditujukan sambil menunjuk ke itinerari yang penulis telah sediakan awal-awal dan diberi salinan kepada Akmal dan Akim. Baru penulis sedar yang penulis ada meletakkan alamat laman sesawang blog penulis didalam itinerari tersebut. 
  • Penulis menerangkan yang penulis bukanlah agensi pelancongan, dan alamat laman sesawang yang ditulis di itinerari tersebut adalah laman blog penulis. 
  • Agak musykil, penulis telah mengakses masuk ke laman blog www.mytravelcerita.com untuk membuktikan yang blog tersebut boleh diakses. Penulis sempat menunjukkan beberapa gambar di blog tersebut bersama-sama dengan Akmal dan Akim. Mujur mereka berdua pernah mengembara bersama penulis sebelum ini. 
  • Pegawai penyiasat tersebut masih lagi tidak berpuas hati dan meminta penulis untuk menjadi penjamin kepada mereka berdua jika dilepaskan untuk memasuki Korea Selatan. Pegawai tersebut turut menekankan yang nama penulis boleh disenarai hitam jika kedua-dua mereka melakukan perkara yang dilarang sewaktu berada didalam Korea Selatan. 
  • Penulis juga diminta untuk menunjukkan wang Korean Won yang dibawa dan ditanya samada penulis boleh menunjukkan jumlah wang simpanan di dalam bank sebagai bukti mempunyai wang yang mencukupi sewaktu berada didalam Korea Selatan. 
  • Penulis bersetuju menjadi penjamin dan menunjukkan jumlah wang Korean Won yang dibawa. 
  • Selepas itu, penulis ditinggalkan buat seketika disitu tanpa apa-apa penjelasan. 
  • Hampir setengah jam menunggu di dalam keresahan, akhirnya Akmal dan Akim di "escort" keluar berjumpa dengan penulis, dan passport mereka diserahkan kepada penulis, mungkin untuk menandakan yang penulis bertanggungjawab terhadap mereka berdua. 

Nota Kaki: Kebelakangan ini berlaku kesukaran bagi rakyat Malaysia memasuki Korea Selatan. Alasan utama adalah untuk mengekang kemasukan pekerja haram ke sana. Ini berlaku akibat dari lambakan pekerja haram rakyat Malaysia yang bekerja tanpa permit. Akibatnya, rakyat Malaysia yang berniat untuk melancong kesana telah di ragui dan memberikan persepsi yang kurang baik tentang negara kita. Diharapkan agar kepada sesiapa yang berniat untuk bekerja di Korea Selatan, buatlah dengan cara yang sah. Tunjukkan yang negara kita adalah negara yang bertamadun dan mempunyai rakyat yang berdisiplin. 


Mesej-mesej antara Penulis dan Akmal









Comments

  1. Aduh seram pulak baca.bnyak persediaan nak kena buat kan

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah kalau betul caranya, dipermudahkan urusan ke sana :)...tapi dokumen-dokumen yang disenaraikan diatas tu agak penting untuk disediakan terutama sekali jika disoal siasat oleh pihak imigresen.

      Delete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Bercuti ke Hat Yai Menaiki Keretapi

Hat Yai, Syurga Makanan

Apa yang menarik di Phuket?

Tragedi di Sempadan Malaysia-Thailand