-->

10+1 Tips Untuk Mengelakkan Dari Gagal Memasuki Korea Selatan

Artikel ini ditulis berdasarkan pengalaman sebenar penulis bersama rakan-rakannya ketika memasuki Korea Selatan pada 8 Nov 2018. Penulis berjaya melepasi pemeriksaan imigresen, malangnya dua orang lagi rakan penulis hampir dihalang dan dihantar pulang ke Malaysia.

***MINTA JASA BAIK SEMUA UTK SUBSCRIBE KE CHANNEL YOUTUBE PENULIS DI www.youtube.com/hairwanabubakar  TQ SEMUA, TARGET UTK DPTKAN 1000 SUBSCRIBER***

Beberapa fakta yang perlu diketahui:

  1. Visa tidak diperlukan untuk melancong ke Korea Selatan bagi tempoh berada disana tidak melebihi dari 90 hari. Anda hanya perlu ada passport yang masih sah untuk tempoh 6 bulan. 
  2. Kementerian Keadilan Korea Selatan telah meningkatkan jumlah pegawai imigresen yang bertanggungjawab untuk mengenalpasti pekerja asing tanpa izin kepada 1,400 orang. Boleh rujuk pada artikel yang ditulis oleh MStar bertarikh 28 Januari 2018.
Akmal dan Akim selepas keluar dari kapal terbang setelah tiba di Incheon International Airport


Berikut disenaraikan 10+1 tips yang perlu di ambil maklum sebelum ke Korea Selatan.
  1. PENTING! Sediakan tiket penerbangan pulang yang sah
  2. PENTING! Sediakan itinerari perjalanan, iaitu jadual aktiviti harian sewaktu berada di Korea Selatan
  3. Pastikan anda faham selok belok perjalanan seperti yang telah dirancang didalam itinerari. Pegawai imigresen mungkin akan bertanya untuk memastikan yang anda bukan dirancang untuk memasuki Korea Selatan bagi tujuan selain dari pelancongan. 
  4. PENTING! Sediakan sesalinan bukti tempahan hotel/hostel/rumah tumpangan. Pastikan tempahan telah disahkan kerana ada kemungkinan pihak imigresen akan menghubungi hotel/hostel/rumah tumpangan untuk mendapatkan kepastian
  5. Jika anda datang bersama keluarga, bawa bukti hubungan kekeluargaan seperti surat beranak dan lain-lain dokumen. Keberangkalian berjaya memasuki Korea Selatan adalah lebih tinggi jika melancong bersama keluarga
  6. Wang tunai yang mencukupi sepanjang berada di Korea Selatan, atau bukti wang simpanan di dalam bank yang mencukupi yang boleh digunakan sewaktu berada di Korea Selatan. Anda mungkin diminta mengakses ke akaun bank anda (perbankkan internet/mesin atm). Jalan terbaik adalah menukar wang ke Korean Won yang mencukupi sebelum berlepas ke Korea Selatan
  7. Pastikan maklumat yang diisi didalam "arrival card" dan "customs declaration form" adalah lengkap dan tepat. Sebarang keraguan atas maklumat yang di isi boleh menyebabkan anda dilarang dari memasuki Korea Selatan. 
  8. Jika anda berumur awal 20an, tidak digalakkan melancong bersama rakan-rakan sebaya ataupun keseorangan, jika boleh, didalam kumpulan yang disertai oleh orang yang agak berumur/matang. 
  9. PENTING! Bila anda diminta untuk memasuki bilik siasatan, anda mungkin akan terpisah dari kumpulan anda. Pastikan bila ini terjadi, telefon anda boleh mengakses rangkaian wifi. Lapangan terbang Incheon di Korea Selatan ada menyediakan perkhidmatan wifi percuma.  Rakan-rakan anda yang berjaya melepasi pemeriksaan imigresen mungkin bakal menjadi penyelamat kepada anda. Pegawai penyiasat berkemungkinan besar akan meminta anda menghubungi mereka untuk dijadikan sebagai rujukan. 
  10. PENTING! Pastikan kandungan telefon bimbit anda "bersih". Jika anda diragui kemasukan ke Korea Selatan, dan dipanggil masuk kedalam bilik siasatan, pihak imigresen mempunyai hak untuk mengakses ke telefon bimbit anda. Salah satu borang yang anda perlu isi nanti ada menanyakan kebenaran untuk mengakses telefon bimbit anda. Jika anda tidak memberi kebenaran, sudah pasti menimbulkan lagi keraguan pada pihak imigresen. 
Dan yang paling PENTING!, keyakinan diri ketika menjawab soalan imigresen. Bila disoal siasat, jawapan yang diberi dan cara jawapan diberi perlulah meyakinkan. 


Sebagai rujukan, berikut merupakan rentetan pengalaman sebenar penulis sewaktu tiba di Lapangan Terbang Incheon, Korea Selatan pada tanggal 8 Nov 2018 yang lalu. Penulis ke sana bersama-sama dua orang rakan iaitu Akmal dan Akim. Akmal dan Akim nyaris-nyaris dilarang memasuki Korea Selatan!

  • Awal-awal lagi penulis telah mengingatkan Akmal dan Akim supaya beratur di hadapan sewaktu di kaunter imigresen. Ini bagi memudahkan penulis untuk mengetahui jika sebarang perkara tidak diingini berlaku pada mereka berdua. Akmal baru menjinakkan diri dalam dunia "backpacker" manakala bagi Akim pula, ini pertama kali ke luar negara menaiki kapal terbang. 
  • Sewaktu tiba giliran Akmal menghadap pegawai imigresen, kemasukannya ke Seoul telah diragui dan diminta untuk menunggu di tepi. Penulis sudah mulai risau dengan situasi tersebut. 
  • Giliran Akim menghadap pegawai imigresen yang sama, juga diragui kemasukannya ke Seoul. 
  • Kedua-dua mereka diminta untuk mengikut pegawai penyiasat ke bilik siasatan. Penulis bertambah risau dan berdoa agar segala urusan mereka dipermudahkan. 
  • Penulis kemudian menghadap pegawai imigresen yang sama, berjaya dibenarkan masuk ke Seoul. Penulis cuba untuk menerangkan situasi yang mereka berdua melancong bersama-sama penulis, tetapi tidak diendahkan. 
  • Setelah melepasi imigresen, penulis menunggu di bahagian belakang kaunter imigresen, agak gelisah ketika itu kerana penulis tahu agak mustahil untuk berhubung dengan Akmal dan Akim.
  • Setelah hampir sejam, penulis mengambil keputusan untuk pergi ke "belt" pengambilan beg dengan harapan bakal bertemu dengan Akmal disitu kerana beg Akmal ada disana juga. Jika kedua-duanya dihantar pulang ke Malaysia, pasti pegawai imigresen akan membawa Akmal kesitu utk mengambil begnya.
  • Hampir 30 minit di situ, tiba-tiba penulis menerima mesej whatsap dari Akmal. Masa tu hanya Allah swt je yang tahu perasaan gembiranya mengetahui keberadaan mereka berdua.
  • Mesej-mesej dengan Akmal seterusnya menjurus kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan borang soal siasat yang perlu mereka isi. Soalan-soalan yang ditanya menjurus kepada perkara-perkara yang membolehkan mereka dilarang dari memasuki Korea Selatan. Dan di antara soalan yang ditanya adalah berkaitan dengan kebenaran untuk mengakses telefon bimbit mereka. Mereka juga ditanya samada mereka mempunyai tiket penerbangan pulang.
  • Penulis ada lampirkan disini butiran lanjut kandungan mesej penulis dan Akmal. 
  • Menurut kata Akmal, pegawai penyiasat ingin bertemu dengan penulis. Pada masa tersebut, penulis telah berada di bahagian pengambilan beg. 
  • Penulis kembali ke bahagian belakang kaunter imigresen untuk menunggu pegawai penyiasat. Setelah beberapa ketika menunggu, penulis di datangi oleh seorang lelaki berbaju biru muda, uniform pegawai penyiasat imigresen. 
  • Soalan pertama yang ditanya adalah, "Are you travel agency? I cannot access your website" (Adakah anda agensi pelancongan? Saya tidak dapat mengakses ke laman sesawang anda). Soalan itu ditujukan sambil menunjuk ke itinerari yang penulis telah sediakan awal-awal dan diberi salinan kepada Akmal dan Akim. Baru penulis sedar yang penulis ada meletakkan alamat laman sesawang blog penulis didalam itinerari tersebut. 
  • Penulis menerangkan yang penulis bukanlah agensi pelancongan, dan alamat laman sesawang yang ditulis di itinerari tersebut adalah laman blog penulis. 
  • Agak musykil, penulis telah mengakses masuk ke laman blog www.mytravelcerita.com untuk membuktikan yang blog tersebut boleh diakses. Penulis sempat menunjukkan beberapa gambar di blog tersebut bersama-sama dengan Akmal dan Akim. Mujur mereka berdua pernah mengembara bersama penulis sebelum ini. 
  • Pegawai penyiasat tersebut masih lagi tidak berpuas hati dan meminta penulis untuk menjadi penjamin kepada mereka berdua jika dilepaskan untuk memasuki Korea Selatan. Pegawai tersebut turut menekankan yang nama penulis boleh disenarai hitam jika kedua-dua mereka melakukan perkara yang dilarang sewaktu berada didalam Korea Selatan. 
  • Penulis juga diminta untuk menunjukkan wang Korean Won yang dibawa dan ditanya samada penulis boleh menunjukkan jumlah wang simpanan di dalam bank sebagai bukti mempunyai wang yang mencukupi sewaktu berada didalam Korea Selatan. 
  • Penulis bersetuju menjadi penjamin dan menunjukkan jumlah wang Korean Won yang dibawa. 
  • Selepas itu, penulis ditinggalkan buat seketika disitu tanpa apa-apa penjelasan. 
  • Hampir setengah jam menunggu di dalam keresahan, akhirnya Akmal dan Akim di "escort" keluar berjumpa dengan penulis, dan passport mereka diserahkan kepada penulis, mungkin untuk menandakan yang penulis bertanggungjawab terhadap mereka berdua. 

Nota Kaki: Kebelakangan ini berlaku kesukaran bagi rakyat Malaysia memasuki Korea Selatan. Alasan utama adalah untuk mengekang kemasukan pekerja haram ke sana. Ini berlaku akibat dari lambakan pekerja haram rakyat Malaysia yang bekerja tanpa permit. Akibatnya, rakyat Malaysia yang berniat untuk melancong kesana telah di ragui dan memberikan persepsi yang kurang baik tentang negara kita. Diharapkan agar kepada sesiapa yang berniat untuk bekerja di Korea Selatan, buatlah dengan cara yang sah. Tunjukkan yang negara kita adalah negara yang bertamadun dan mempunyai rakyat yang berdisiplin. 


Mesej-mesej antara Penulis dan Akmal









Itinerari Lengkap Hong Kong dan Macau

Pada tanggal 21 sehingga 25 September 2018, abam bersama-sama Akmal dan dua orang rakan yang lain, Iwan dan pasangannya Fizah telah berkesempatan ke Hong Kong dan Macau. Trip yang dirancang hampir kurang dari sebulan sebelum tarikh penerbangan.

Akmal di stesyen Airport Express Hong Kong


Laluan penerbangan Malaysia Airlines MH72 



Hari Pertama (21 September 2018)
Abam dan Akmal menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH72 menuju ke Hong Kong International Airport. Iwan dan Fizah pula menaiki penerbangan AirAsia. Penerbangan kami dari KLIA dijadualkan pada jam 9.10 pagi. Agak bertuah kali ini kerana penerbangan Malaysia Airlines ke Hong Kong adalah menggunakan pesawat terbaru Airbus A350. Untuk melihat bagaimana selesanya pesawat ini, korang boleh tonton di Channel Youtube abam seperti dibawah, 




Kami tiba di Hong Kong International Airport pada jam 1.15 tengah hari waktu Hong Kong. Untuk pengetahuan semua, waktu di Hong Kong dan Malaysia adalah sama, tiada perbezaan. Setibanya disana, setelah keluar dari pemeriksaan kastam, kami terus ke kaunter Airport Express Customer Service untuk membeli Kad Octopus. Tambah nilai sebanyak HKD 400 juga telah dibuat bagi penggunaan selama 5 hari di Hong Kong. Dari airport, kami menuju ke penginapan yang telah di tempah di Grand Inn Hotel. Untuk ke sini, kami menaiki airport express ke stesyen Hong Kong. Kemudian bertukar menaiki Tsuen Wan Line dari Central Station untuk turun di stesyen Tsim Sha Tsui. Keluar mengikut pintu A2, belok kiri dan kiri lagi, jalan beberapa langkah, kemudian lintas jalan disebelah kiri. Dalam beberapa meter, akan nampak kedai "Bonjour", masuk pintu disebelah kedai tersebut, dan kemudian akan nampak lift disebelah  kanan. Grand Inn Hotel terletak di tingkat 11. 

Stesyen Tsim Sha Tsui, terletak berhampiran dengan hotel yang kami tinggal


Pada sebelah malamnya, kami mengambil keputusan untuk makan malam di Ebeneezer's Kebab & Pizzeria. Kata orang nasi beriayani disini antara menu tarikan utamanya. Untuk kesini, dari hotel, belok ke kiri, ikut lorong pertama selepas belok ke kiri, teruskan berjalan sampai nampak Butik Rolex. Jalan lagi beberapa meter dan akan bertemu dengan simpang tiga. Lintas jalas di simpang tiga tersebut, belok kekanan dan korang akan nampak kedai ini disebelah kiri korang. Terus terang cakap, nasi beriayani di kedai ini memang sangat-sangat sedap, tidak mengecewakan. 

Makan malam di Ebeneezer's Kebab & Pizzeria


Setelah selesai makan malam, kami berempat berjalan kaki ke Victoria Harbour. Salah satu tempat wajib pergi apabila tiba di Hong Kong.  Untuk kesini, pusing semula mengikut jalan yang korang lalu tadi, setibanya di jalan utama area hotel, belok ke kiri, teruskan berjalan sehingga tiba di area Victoria Harbour. Lepak-lepak disini pada waktu malam amat mengasyikkan, menyaksikan limpahan lampu-lampu neon dari bangunan-bangunan yang terletak disepanjang sungai. 


Hari Kedua (22 September 2018)
Pada hari kedua, kami meneruskan perjalanan ke Hong Kong Disneyland. Tiket masuk telah dibeli sewaktu di Malaysia lagi. Pembelian boleh dibuat menerusi laman sesawang www.klook.com. Harga yang ditawarkan juga amat berpatutan, sedikit murah dari pembelian di kaunter. Kami hanya membayar RM280 seorang jika dibandingkan dengan harga asal yang menjangkau RM300. 

Untuk ke Hong Kong Disneyland, dari hotel, kami menaiki Tsuen Wan Line dari stesyen Tsim Sha Tsui. Turun di stesyen Lai King untuk bertukar menaiki Tung Chung Line menuju ke Tung Chung tetapi turun di stesyen Sunny Bay. Di Sunny Bay, tukar menaiki Disneyland Resort Line untuk ke Disneyland. 

Mercu tanda Hong Kong Disneyland


Hampir sehari suntuk menghabiskan masa di dalam Disneyland. Bagi umat Islam, tak perlu risau tentang soal makanan. Disediakan 2 kedai makanan halal beserta dengan surau untuk mengerjakan solat 5 waktu. Restoran-restoran yang di iktiraf halal didalam Hong Kong Disneyland adalah Explorer's Club Restaurant dan Tahitian Terrace. Surau pula terletak bersebelahan dengan Explorer's Club Restaurant. 

Untuk panduan lengkap bagaimana ke Hong Kong Disneyland, korang boleh lihat video di Youtube Channel abam seperti dibawah ni. Juga boleh baca posting abam sebelum ini http://www.mytravelcerita.com/2018/10/bagaimana-ke-disneyland-hong-kong.html





Hari Ketiga (23 September 2018)
Seperti yang telah dirancang, pada hari ketiga kami menghabiskan masa di The Peak Tower (Sky Terrace 428) dan Hong Kong Obeservation Wheel. Tiket tram untuk ke The Peak Tower telahpun dibeli awal dari laman sesawang www.klook.com. Untuk mengelakkan dari beratur panjang, kami telah membeli tiket fast track yang beharga RM48 seorang. 

Dari hotel, seperti biasa kami mengambil tren dari stesyen Tsim Sha Tsui. Ambil Tsuen Wan Line untuk menuju ke stesyen Central. Kemudian keluar melalui pintu K. Setelah keluar dari pintu K, korang akan nampak payung dengan tulisan Klook. Bagi pemegang tiket fast track, tunggu agen disitu. Agen akan membawa korang ke stesyen Peak Tram. Tiket yang telah dibeli membolehkan korang untuk masuk ke Sky Terrace 428 juga. 

Bagi yang tidak membeli tiket menerusi Klook atau bukan pemegang pas fast track, korang perlu berjalan kaki sendiri menuju ke stesyen Peak Tram. Setelah keluar dari pintu K tadi, teruskan berjalan kehadapan sehingga bertemu dengan jalan besar. Lintas jalan tersebut, kemudian belok ke kiri untuk beberapa langkah sebelah belok kekanan berjalan melalui bawah bangunan. Setelah bertemu jalan besar, lintas jalan tersebut, kemudian belok ke kiri. Korang akan nampak eskalator disebelah kanan, naik eskalator tersebut menuju ke atas. Teruskan berjalan kehadapan sehingga bertemu jalan besar, kemudian belok ke kanan, teruskan berjalan mendaki keatas. Stesyen tram akan berada disebelah kiri korang setelah berjalan hampir 200 meter. 

Sky Terrace 428



Setelah menghabiskan masa hampir separuh hari di The Peak Tower, kami meneruskan perjalanan untuk ke Hong Kong Observation Wheel. Untuk kesini, korang perlu ke stesyen Central semula. Di area pintu keluar K, lalu disebelahnya untuk menuju ke Hong Kong Observation Wheel. Dari jauh korang akan nampak Ferris Wheel, jadi, keberangkalian untuk sesat amatlah tipis. Apa yang perlu dibuat adalah berjalan kaki menuju ke Ferris Wheel tersebut. Masa kami naik tu hari sudahpun gelap, membuatkan suasana bertambah meriah kerana Hong Kong amat terkenal dengan bangunan-bangunan pencakar langit yang bercahaya pada waktu malam. 

Iwan dan Fizah dalam gondola Hong Kong Observatory Wheel


Untuk pulang ke hotel, korang perlu menaiki Tsuen Wan Line dari stesyen Central menuju ke stesyen Tsim Sha Shui. 


Hari Keempat (24 September 2018)
Hari ini kami telah menghabiskan masa di Macau. Untuk pengetahuan korang, Macau bukanlah terletak di bawah Hong Kong, Macau merupakan sebuah negara yang lain. Oleh yang demikian, untuk masuk ke Macau, korang perlu membawa passport dan melepasi pemeriksaan imigresen kedua-dua negara (Hong Kong & Macau). Kami telah menaiki feri untuk ke Macau. Pembelian tiket feri telah dibuat didalam laman sesawang Klook. Tambang feri pergi balik untuk seorang adalah RM235. 

Untuk ke terminal feri, kami menaiki Tsuen Wan Line dari stesyen Tsim Sha Shui untuk ke stesyen Central. Kemudian bertukar menaiki Island Line menuju ke Kennedy Town tetapi turun di Sheung Wan Station. Disini, korang perlu keluar mengikut pintu D. Jeti ke Macau berada di area sini. 

Setibanya di Jeti Macau, kami telah mengambil keputusan untuk menaiki shuttle bus percuma menuju ke Venetian. Untuk pengetahuan korang, kebanyakan hotel-hotel di Macau menyediakan perkhidmatan bas percuma dan ianya bukan hanya untuk yang menginap di hotel mereka. Setibanya di Venetian, kami telah menghabiskan masa melihat suasana di dalam kasino, pertama kali dalam hidup masuk ke kasino 😛. Agak teruja sebenarnya, Suasana dalam kasino Ventian ni pun teramatlah meriah dengan dekorasi bumbung yang menarik dan unik. Dari Venetian, kami berjalan kaki menuju ke The Parisian. Ada desediakan laluan pejalan kaki untuk ke The Parisian. Tarikan utama di sini adalah bangunan Eiffel Tower yang seakan-akan sama dengan bangunan yang sebenar di Paris.

Dekorasi menarik didalam Kasino Venetian


Parisian Macau


Setelah puas bergambar, kami menaiki teksi ke Senado Square dan Ruins of St Paul. Tambang yang dikenakan adalah sekitar RM34. 

Feri pulang kami ke Hong Kong adalah pada jam 5 petang. Dalam lebih kurang jam 3 petang, kami telah beredar menuju ke jeti dengan menaiki teksi. Tambang yang dikenakan adalah RM36. Perjalanan menuju pulang ke Hong Kong dengan menaiki feri adalah lebih kurang sejam. Setelah tiba di jeti Hong Kong, kami meneruskan perjalanan pulang ke hotel dengan menaiki tren Island Line ke stesyen Central dan kemudian bertukar menaiki Tsuen Wan Line untuk ke stesyen Tsim Sha Shui. 


Hari Kelima (25 September 2018)
Hari terakhir di bumi Hong Kong. Penerbangan pulang abam dan Akmal dijadualkan pada jam 2.35 petang, manakala Iwan dan Fizah pada jam 9 malam. Sebelah paginya, kami hanya berehat di hotel sambil menunggu masa untuk daftar keluar. Jam 10 pagi kami beredar dari hotel dan menuju ke lapangan terbang. Kami tiba di lapangan terbang pada jam lebih kurang 11 pagi. Setelah daftar masuk, abam dan Akmal terus masuk melalui pemeriksaan imigresen kerana cadangnya untuk makan tengah hari di kedai halal Popeyes Louisane Kitchen. Ini adalah satu-satunya kedai halal yang terdapat didalam Hong Kong International Airport dan kedudukannya adalah betul-betul selepas melalui pemeriksaan imigresen. 

Sedih untuk meninggalkan Hong Kong


Setelah makan tengah hari, kami bergegas ke pintu pelepasan Malaysia Airlines MH 073 untuk penerbangan pulang ke Kuala Lumpur. Alhamdulillah, penerbangan pulang kami adalah seperti yang telah dijadualkan. 


Jujurnya, banyak kenangan baru dan manis yang abam perolehi sewaktu di Hong Kong dan Macau. Di temani travel partner Akmal dan dua orang rakan lagi yang sempoi dan ceria pastinya akan membuatkan abam rindu untuk datang ke Hong Kong dan Macau semula. 

InsyaAllah, jika diberi kesempatan, abam akan kembali lagi suatu hari nanti. 


Jumlah Kos dan Ringkasan Perjalanan
Berikut abam senaraikan jumlah kos beserta ringkasan perjalanan untuk memudahkan rujukan korang semua. Kos besar keseluruhan adalah RM1712.00. 


Hari Pertama
Hari Kedua
Hari Ketiga
Hari Keempat
Hari Kelima






Bagaimana ke Disneyland Hong Kong?

Jika berkunjung ke Hong Kong, salah satu tarikan utama yang wajib di lawati adalah Disneyland Hong Kong. Agak kurang lengkap rasanya tanpa ke sini. 

Pada tanggal 21 September 2018, abam dan 3 orang rakan telah ke Hong Kong dan trip kali ini selama 5 hari 4 malam. Sewaktu kesana, taufan Mangkhut baru sahaja melanda beberapa hari sebelumnya. Syukur Alhamdulillah perjalanan kami dipermudahkan. Di Hong Kong, kami mengambil keputusan untuk tinggal di area Tsim Sha Tsui, dan tempat tinggal yang kami tempah terletak 50 meter jarak dari pintu keluar A2 stesyen MTR Tsim Sha Tsui, memudahkan urusan kami untuk berjalan-jalan disekitar Hong Kong. 

Di pintu gerbang menuju ke pintu masuk utama Disneyland Hong Kong


Pada hari kedua, kami telah berkesempatan untuk menghabiskan masa seharian di Disneyland Hong Kong. Secara jujurnya, Disneyland adalah tempat yang abam teringin sangat untuk pergi sejak dari kecil lagi. Masa kecil-kecil hanya mampu melihat di kaca tv sahaja, bila dah berada didepan mata, perasaan teruja tu memang tak dapat abam elakkan. 

Tiket Masuk ke Disneyland Hong Kong
Pembelian tiket masuk ke Disneyland telah dibuat sebelum tiba di Hong Kong lagi. Untuk mendapatkan penjimatan, abam sangat syorkan korang untuk membuat pembelian secara dalam talian di www.klook.com. Harga yang ditawarkan amat murah jika dibandingkan dengan harga di kaunter. Dan pembelian di dalam talian memudahkan korang untuk memasuki Disneyland tanpa beratur panjang untuk membeli tiket. Tiket yang dibeli secara dalam talian boleh digunakan serta merta.

Betul-betul selepas memasuki Disneyland



Laluan ke Disneyland Hong Kong
Ok, disini abam nak berkongsi cerita bagaimana dengan mudahnya untuk sampai ke Disneyland Hong Kong. Disneyland Hong Kong di hubungkan menerusi jaringan MTR dari stesyen Sunny Bay. Jadi, dimana-mana pun korang tinggal di dalam Hong Kong, pastikan korang menuju ke stesyen MTR Sunny Bay. Sebagai contoh, abam dan rakan-rakan tinggal di area Tsim Sha Tsui. Untuk ke Disneyland, berikut adalah laluan yang kami tempuhi:

Stesyen MTR Tsim Sha Tsui



  1. Dari Tsim Sha Tsui, ambil Tsuen Wan Line menuju ke Tsuen Wan, tetapi berhenti di Lai King
  2. Di Lai King, tukar menaiki Tung Chung Line menuju ke Tung Chung, tetapi berhenti di Sunny Bay Station
  3. Di Sunny Bay, tukar menaiki Disneyland Resort Line menuju ke Disneyland Resort. 
  4. Kemudian, jalan kaki sejauh 700 meter untuk ke pintu masuk utama Disneyland Hong Kong

Kedai Makan Halal dan Surau
Untuk pengetahuan korang, terdapat dua kedai makan yang mempunyai sijil halal di dalam Disneyland Hong Kong. Kedai-kedai tersebut adalah Explorer's Club Restaurant dan juga Tahitian Terrace. Terdapat surau disebelah Explorer's Club Restaurant untuk kemudahan umat Islam. 

Makan di dalam Explorer's Club Restaurant



Untuk tatapan korang semua, abam selitkan disini video sewaktu berada di Disneyland Hong Kong. Diharap sedikit perkongsian ini dapat membantu didalam merangka perjalanan korang di Hong Kong. 

Selamat Mengembara


Trip 3 Generasi ke Kota Jakarta dan Bandung

9-14 Ogos 2018 - Trip 3 generasi ke Kota Jakarta dan Bandung..abam (gen X) dan Akmal (gen Z) beserta ibu (baby boomers) dan rakannya (baby boomers)...rancangan awal hanya mahu ke Kota Jakarta, tapi bak kata orang tua-tua, alang-alang meyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan..alang-alang dah sampai Jakarta, apa kata lajak terus ke Bandung..trip yang pada awalnya tertumpu di Jakarta, kini telah beralih arah ke Bandung sebagai main attraction..apa yang abam boleh rumuskan, tak sia-sia perancangan sebegitu dibuat..tiket penerbangan AirAsia telah di tempah beberapa bulan awal, dan Alhamdulillah, harga seorang untuk pergi balik ke Jakarta HANYALAH RM 90! Murah kan?

Tugu Monas


Boarding Pass, KUL-CGK


8 Ogos 2018 - Akmal dari Pasir Gudang, bertolak menuju ke KL tapi singgah di Kampung Masjid Baru, Melaka  terlebih dahulu untuk ambil ibu dan rakannya sebelum meneruskan perjalanan ke KL. Untuk memudahkan urusan, kereta di parkir di Terminal Bersepadu Selatan. Untuk maklumat lanjut berkenaan caj parkir di TBS, korang boleh lihat di tulisan abam sebelum ini. Klik di sini. Dari TBS, kami menuju ke KL Sentral menaiki ERL, ini pertama kali ibu dan rakannya menaiki ERL, perasaan teruja jelas tergambar di muka masing-masing ☺. Disebabkan penerbangan ke Jakarta adalah pada keesokan harinya, kami berempat rehat sebentar di My Hotel KL Sentral, dan pada malamnya, sempat abam bawa mereka menonton wayang di Nu Sentral.

9 Ogos 2018 - Setelah daftar keluar dari hotel, kami ke KL Sentral yang terletak berhampiran dengan hotel untuk menaiki ERL Ekspres menuju ke KLIA2. Penerbangan dijadualkan pada jam 10.30 malam. Dari KL Sentral menuju ke KLIA2 hanya mengambil masa 28 minit sahaja. Setelah daftar masuk, kami menuju ke pintu pelepasan.

Bergambar di KLIA2


10 Ogos 2018 - 2 jam perjalanan dari KLIA2 ke Soekarno Hatta International Airport Jakarta. Kami tiba kira-kira jam 12.30 malam waktu tempatan, terlewat sejam dari jadual asal akibat dari kelewatan penerbangan bertolak dari KLIA2. Dalam masa-masa sedemikian, pilihan untuk menaiki perkhidmatan awam seperti Bas Damri ataupun Airport Express ke Kota Jakarta boleh dilupakan. Abam buat keputusan untuk menaiki Grab sahaja. Untuk pengetahuan korang, jika menaiki Grab dari Soekarno Hatta International Airport, pick up point terletak di tingkat 5 bangunan parkir. Untuk ke sini, setelah korang keluar dari arrival hall, korang perlu berjalan ke arah kanan sehingga ke pintu keluar, kemudian teruskan perjalanan ke bangunan sebelah iaitu bangunan parkir kereta. Akan terdapat lift di situ, naik ke tingkat 5. Dari pintu keluar lift, korang akan nampak ruang menunggu untuk menaiki Grab. Dari airport ke hotel yang telah kami tempah memakan masa dalam 20 minit sahaja, mungkin kerana waktu sudah lewat malam dan jumlah kereta yang kurang pada masa sedemikian. Kami tiba di Heef Hotel, Pasar Baru Jakarta dalam jam 2 pagi. Akibat keletihan yang teramat sangat, malam itu kami pergunakan untuk berehat secukupnya sebelum perjalanan diteruskan ke Bandung pada keesokan harinya. 

Soekarno Hatta International Airport


Jam 8 pagi kami turun sarapan di hotel. Bilik yang kami tempah sudah termasuk dengan makan pagi percuma. Cuma agak kecewa dengan kepelbagaian makanan yang disediakan, tapi cukuplah untuk mengisi perut. 


Twin bed room, Heef Hotel

Sarapan di Heef Hotel


Jam 12 tengah hari, kami daftar keluar, dan terus memesan perkhidmatan Grab untuk menuju ke Stasiun Keretapi Gambir. Perjalanan hanya mengambil masa 20 minit. Setibanya di Stasiun Keretapi Gambir, kami terus ke mesin daftar masuk yang disediakan disekitar kawasan stasiun. Untuk panduan bagaimana membeli tiket keretapi dan cara-cara untuk daftar masuk, sila ke Youtube channel abam. 




Di sebabkan masa yang masih awal, abam dan Akmal menghabiskan masa di sekitar kawasan Monumen Nasional (MONAS) yang terletak bersebelahan dengan Stasiun Keretapi Gambir. Ibu dan Kak Miah mengambil keputusan untuk hanya berehat di kerusi menunggu. 

Berlatar belakangkan Monas


Jam 2.30 petang, abam dan Akmal kembali ke stasiun dan kami semua bergerak masuk untuk menaiki tren. Bagi laluan Gambir ke Bandung, tren yang kami naiki adalah dari kelas Eksekutif, manakala untuk pulang nanti, kami mengambil keputusan untuk merasai pengalaman menaiki kelas Priority. Untuk melihat suasana tren, korang boleh lihat video abam di bawah. 


Kami tiba di Stasiun Bandung lebih kurang jam 6.45 petang. Pak Reihan, supir kami sepanjang di Bandung telah sedia menunggu. Perjalanan kami teruskan ke Hotel El Royale Bandung. Setelah urusan daftar masuk selesai, kami berehat sebentar sebelum turun untuk makan malam di salah sebuah restoran yang terletak di dalam hotel. 




11 Ogos 2018 - Jam 7.30 pagi, kami turun untuk sarapan. Bilik yang kami tempah sudah termasuk dengan sarapan pagi secara percuma. Jujur abam cakap, kualiti makanan amat sedap dan pelbagai hidangan dari tempatan ke luar negara disediakan. Setelah selesai bersarapan, kami menunggu Pak Reihan. Hari pertama di Bandung, kami  ke Kawah Putih, Ciwidey Valley dan Glamping Lakeside. 

Belakang tu la kawah putihnya

Pada sebelah malamnya, kami berkesempatan membeli belah di sebuah pusat pakaian dan minyak wangi, sempatlah juga Ibu, Kak Miah dan Akmal membeli beberapa helai kain tudung serta kain pasang untuk dibawa pulang. 

Antara senarai minyak wangi yang terjual


Bagi abam, sehelai Baju Batik Indonesia sudah memadai, untuk dipakai sewaktu perjalanan pulang dari Bandung ke Jakarta nanti. 


12 Ogos 2018 - Jam 7.30 pagi, seperti hari sebelumnya, kami bersarapan di hotel sebelum menunuggu Pak Reihan untuk meneruskan aktiviti di hari kedua. Kami ke Maribaya Lodge dan Kopi Luwak Cikole. 

Pintu Masuk
Plan asalnya, kami mahu juga ke area-area lain di kawasan Lembang seperti Farm House dan Floating Market, tapi disebabkan kekangan masa, dan melihatkan ibu serta Kak Miah yang sudah keletihan, kami mengambil keputusan untuk pulang ke hotel sahaja. 

Dalam gambar nampak challenging, tapi sebenarnya biasa-biasa sahaja

Sebelum pulang, kami sempat menikmati juadah makan tengah hari di salah sebuah kedai makan sunda yang disyokan oleh Pak Reihan. 

Kopi Luwak Cikole


Pada malam harinya, abam dan Akmal mengambil keputusan untuk merayau rayau disekitar hotel berjalan kaki. Sempat lah juga kami ke sebuah taman yang berhampiran dengan hotel serta ke salah sebuah gedung di area sekitarnya. Akmal sempat membeli sehelai jeans Levis dan juga pouch bag serta cap. Sebelum pulang semula ke hotel, kami berehat mengopi sebentar di sebuah kedai minum berhadapan dengan gedung yang kami lawati. 

13 Ogos 2018 - Hari terakhir di Bandung. Paginya seperti biasa kami bersarapan di hotel. Setelah selesai, abam dan Akmal mengambil keputusan untuk berenang di kolam renang hotel. 

Layan kolam renang di hotel

Mengikut apa yang dibaca, hotel yang kami inapi tersedia dengan kolam renang bersuhu suam. Kami agak kecewa kerana kolam renang yang bersuhu suam hanya sesuai untuk dimandi oleh kanak-kanak. Mujur kolam renang biasanya amat selesa. Hampir jam 11 pagi juga la kami menghabiskan masa berendam di dalam kolam renang. Jam 12 tengah hari, kami daftar keluar dari hotel, dan menuju ke Stasiun Bandung untuk menaiki keretapi kelas Priority menuju ke Jakarta di Stasiun Gambir. Keretapi kami dijadualkan bertolak pada jam 2.45 petang. Perjalanan dari Stasiun Bandung ke Gambir mengambil masa lebih kurang 4 jam lebih. Kami tiba di Stasiun Gambir pada jam 7 petang, dan meneruskan perjalanan ke Hotel Jayakarta menaiki Grab. 

Twin bedroom The Jayakarta Hotel

Malamnya, hanya abam dan Akmal sahaja merayau-rayau sekitar hotel, tapi jujurnya tiada yang menarik di area hotel yang kami inap. 

14 Ogos 2018 - Berakhir sudah percutian kami. Jam 10 pagi, kami daftar keluar untuk menuju ke Soekarno Hatta International Airport. Disebabkan keadaan jalan raya yang amat sesak, kami nyaris-nyaris terlepas penerbangan. Penerbangan kami dijadualkan pada jam 2 petang, tetapi ditunda ke 2.50 petang. Akibat kesesakan jalan raya, kami tiba di airport pada jam 1 tengah hari. Mujur masih sempat untuk check in luggage dan daftar masuk.  Bagi yang bercadang ke Jakarta dan bakal berlepas atau tiba di Soekarno Hatta International Airport, abam syorkan korang untuk merancangan perjalanan dengan sebaik mungkin. Kesesakan jalan raya di kota Jakarta boleh mempengaruhi jadual perjalanan korang. 

Boarding area Soekarno Hatta Airport


Walaupun trip pada kali ini agak padat dengan aktiviti, tapi kepuasan jelas tergambar di muka masing-masing. Ini pertama kali abam bawa ibu bercuti ke luar negara, InsyaAllah, jika diberi kesempatan dan ruang, akan banyak lagi peluang sebegini dimasa hadapan.

Beli Tiket Tren Jakarta-Bandung-Jakarta ONLINE!

Pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana untuk membuat pembelian secara dalam talian tren dari Jakarta ke Bandung ataupun disebaliknya. Untuk pengetahuan korang, pembelian boleh dibuat secara dalam talian dari laman web www.tiket.com ataupun menerusi applikasi tiket.com yang boleh di muat turun dari Google Play Store untuk pengguna android dan App Store untuk pengguna Iphone.

Tiket Kelas Eksekutif Argo Parahyangan tujuan Bandung dari Jakarta

Berikut abam senaraikan langkah-langkah mudah yang perlu korang ikuti untuk membuat pembelian tiket tersebut secara dalam talian:


1. Pilih kereta jika korang membuat pembelian menggunakan applikasi ataupun kereta api jika pembelian dibuat menerusi laman sesawang. 
2. Kemudian, pilih Gambir (GMR) untuk 'dari' dan Bandung (BD) untuk 'ke'.
3. Pilih samada tiket mahu dibeli untuk 'pulang-pergi' (return) ataupun 'pergi' (one way) sahaja. 
4. Tetapkan tarikh 'berangkat' dan 'pulang' untuk 'pulang-pergi' ataupun tarikh 'berangkat' sahaja untuk one way.
5. Tetapkan jumlah penumpang.
6. Kemudian tekan pada butang 'cari kereta'.
7. Senarai masa perjalanan akan dikeluarkan. Harap maklum, keretapi ke Bandung dari Jakarta diberi nama Argo Parahyangan, dan terdapat 3 kelas yang berbeza iaitu ekonomi, eksekutif dan prority. Harga untuk ekonomi adalah IDR 80K, eksekutif adalah IDR 125K dan priority adalah IDR 250K.
8. Setelah pemilihan masa dan jenis kelas telah dibuat, korang akan diminta untuk mengisi maklumat penumpang. Pastikan nombor pasport dimasukkan pada 'no identitas (KTP/paspor/lainnya).
9. Setelah itu, tekan pada butang 'pilih kursi' untuk membuat pemilihan tempat duduk. Pemilihan tempat duduk adalah percuma tanpa bayaran tambahan. 
10. Setelah selesai, korang akan dibawa ke skrin pembayaran. Pilih 'Kartu Kredit' dan masukkan maklumat berkenaan dengan kad anda. Harap maklum, pembelian boleh juga menggunakan kad debit, cuma pastikan kad korang telah diaktifkan untuk pembelian secara dalam talian. 
11. Setelah itu, klik pada butang 'lanjutkan pembayaran'.
12. Setelah pembayaran dibuat, korang akan menerima emel dan juga whatsap mesej mengandungi maklumat berkenaan pembelian anda. Pastikan anda ambil maklum nombor 'kode booking' yang dinyatakan. Kode booking ini akan digunakan sewaktu daftar masuk di stesyen Gambir ataupun Bandung nanti. 

Mesej Whatsap dari tiket.com setelah pembelian dibuat
mengandungi maklumat pembelian


Setelah pembelian tiket dibuat secara dalam talian, korang perlu untuk daftar masuk (check in) di stesyen Gambir untuk destinasi Jakarta- Bandung ataupun di stesyen Bandung untuk destinasi Bandung-Jakarta. Bagaimana untuk daftar masuk? Mudah aje. Cuma masukkan 'kode booking' di mesin dan sahkan maklumat yang tertera di skrin sebelum tiket dikeluarkan dari mesin tersebut. 


Laluan masuk untuk menaiki tren berada di sebelah kanan korang setelah tiket di cetak. Pastikan pasport ada bersama untuk di verifikasi sebelum korang dibenarkan masuk. 



Video lengkap perjalanan menaiki keretapi dari Jakarta-Bandung-Jakarta boleh korang lihat di Youtube Channel abam di bawah ni, jangan lupa Subscribe ye...




Diharap artikel ini dapat membantu korang tentang proses bagaimana untuk membeli tren tiket di Indonesia secara dalam talian. 

Tragedi di Sempadan Malaysia-Thailand

Tahukah korang, mengikut Butiran 19 Perintah Kastam (Pengecualian) 1988, terdapat had limit pengecualian cukai/duti untuk barang-barang peribadi yang dibeli diluar negara dan dibawa masuk ke Malaysia? Berikut adalah senarai panduan barang-barang yang dikecualikan cukai/duti untuk rujukan korang semua;

1. Barang-barang mudah alih terpakai selain "household effect"
2. Minuman keras tidak melebihi 1 liter
3. Tembakau tidak melebihi 225 gram atau rokok tidak melebihi 200 batang
4. Pakaian baru tidak melebihi 3 pasang
5. Sepasang kasut baru
6. Perkakasan elektrik atau bateri mudah alih untuk penjagaan diri tidak melebihi 1 unit setiap satu
7. Bahan penyediaan makanan tidak melebihi nilai RM 75
8. Hadiah dan cenderahati (tidak termasuk minuman keras, tayar, tiub, tembakau, rokok dan kenderaan) dimana jumlah nilai tidak melebihi RM 400. Jika barangan dari Langkawi, Pulau Tioman atau Labuan, jumlah nilai dibenarkan untuk pengecualian tidak melebihi RM 500.

Untuk maklumat lanjut berkenaan dengan pengecualian cukai/duti, korang boleh layari laman web Jabatan Kastam Di Raja Malaysia di http://www.customs.gov.my/ms/tp/Pages/tp_pbft.aspx       


Ok, kenapa abam letak maklumat di atas ni? Sebab, masa kitaorang ke Hat Yai pada awal bulan 7 yang lepas, seorang dari ahli kumpulan kami terkandas di Imigresen Malaysia sewaktu pulang masuk. Alasannya, kerana barang yang dibawa melebihi had limit pengecualian cukai yang dibenarkan. Tapi korang tak perlu risau, walaupun melebihi had limit, korang hanya perlu bayar cukai untuk membolehkan barang-barang tersebut dibawa masuk. Bagi kes kawan abam ni, dia hanya perlu membayar RM10 untuk pelepasan barang-barang tersebut.


Nilai cukai RM10 yang perlu dibayar untuk membolehkan
barang yang melebihi had dibawa masuk ke Malaysia

Senarai had limit barangan yang boleh dibawa masuk


PERJALANAN KE HAT YAI BERMULA

Untuk trip ke Hat Yai pada kali ini, rombongan tiga sekawan; Akmal, Akim dan Raja bertolak dari Pasir Gudang, Johor. Kami berjumpa di kedai mamak area Serdang sebelum meneruskan perjalanan ke TBS. Kenapa TBS? Sebab parking di TBS amat-amat murah, serta keselamatan terjaga. Untuk 24 jam pertama, bayaran adalah RM10, dan setiap 24 jam yang berikutnya, tambahan RM6 SAHAJA dikenakan. Bermakna, kalau korang parking di TBS selama 3 hari, bayaran yang dikenakan hanyalah RM22 (RM10 + RM6 + RM6). Murahkan? Untuk maklumat lanjut berkenaan dengan caj semasa parking di TBS, korang boleh klik disini.

Lepak di kedai mamak area Serdang sebelum ke TBS

Setelah parking di TBS, kami meneruskan perjalanan ke KL Sentral menaiki ERL, sebab yang bertiga tu tak pernah merasa menaiki ERL, jadi abam pun bawa la diaorang menikmati kemudahan yang ada. Di KL Sentral, kami menaiki ETS pula menuju ke Padang Besar. ETS bertolak pada jam 7 pagi dan pembelian tiket telah dibuat seawal 2 minggu sebelum perjalanan. Setibanya di Padang Besar, disebabkan masa menunggu tren ke Hat Yai yang masih lama, kami membuat keputusan untuk menaiki van sapu. Cepat dan pantas hehe. Harga seorang RM20 ataupun lebih kurang THB180. Untuk maklumat lanjut berkenaan dengan cara-cara mudah ke Hat Yai, korang boleh lihat posting abam sebelum ini di sini dan juga di sini.


MEREHATKAN DIRI DI ALOHA HOTEL
Untuk tempat tinggal, kami berempat memilih Hotel Aloha sebagai pilihan penginapan. Bilik yang amat selesa, serta berhampiran dengan tempat-tempat menarik yang boleh dilawati sekitar pekan Hat Yai.

Bilik yang amat selesa

Sempat bergambar di hadapan hotel


JALAN-JALAN SEKITAR HAT YAI DAN SONGKHLA
Untuk trip kali ni, abam bawa diaorang berjalan ke Khlong Hae Floating Market, Samila Beach di daerah Songkhla, Hat Yai Municipality Park, Asean Night Market dan Lee Garden. Memang makan, makan dan makan sentiasa haha. Orang kalau ke Hat Yai ni, kalau tak tujuan utamanya untuk makan-makan, memang tujuan lagi satunya kearah ke MAKSIATAN kahkahkah..jadinya, tepuk dada, tanya selera..kalau korang bernafsu kepada makanan, maka baiklah pengakhirannya, tapi kalau ke satu lagi, abam NO KOMEN..

Kebetulan ada persembahan tarian sewaktu kami ke Khlong Hae Floating Market
Sempat lagi si Akmal ni bergambar dgn adik2 kita dari Thai ni

Rugi tak cuba tuktuk kalau dah sampai di Hat Yai

Tangga menuju ke Big Buddha di Hat Yai Municipality Park

Tugu Mermaid di Samila Beach, Songkhla

Menaiki kereta kabel di Hat Yai Municipality Park

Big Buddha

Spot wajib bergambar di area Hat Yai Junction

Khlong Hae Floating Market

MASA UNTUK PULANG
Setelah dua hari menghabiskan masa di Hat Yai, kami menuju pulang ke Malaysia menaiki tren dari Hat Yai Junction ke Padang Besar, dan kemudian bertukar menaiki ETS ke KL Sentral. Jujurnya, trip ke Hat Yai agak meletihkan, tapi amat berbaloi dengan kenangan yang diperolehi.

Akhir kata, abam tinggalkan korang dengan serangkap pepatah hasil ciptaan abam...

"Kenapa hanya melihat puncak gunung yang bersalji, kalau ko mampu mencapainya..kenapa perlu melihat kejayaan orang, kalau ko pun mampu menggapainya"...

Selamat mengembara..